Skip to content

Minyak Murah Belum Tentu Jimat: Inilah Kos Sebenar Minyak Goreng Anda

28/10/2026
Kuala Lumpur

Ramai pengusaha makanan, daripada peniaga kecil hinggalah kilang berskala besar, memilih minyak goreng berdasarkan satu perkara sahaja: harga seliter. Angka itulah yang paling mudah dibandingkan dan paling senang diluluskan setiap kali membuat pembelian. 

Namun, yang sebenarnya menentukan untung rugi perniagaan ialah berapa lama minyak itu mampu bertahan sebelum perlu ditukar.

“Kualiti minyak goreng akan menurun apabila dipanaskan.Yang membezakannya hanyalah secepat mana proses itu berlaku.”

Setiap kali minyak ditukar, kos yang ditanggung bukan sekadar harga minyak baru. Masa operasi terbuang, tenaga pekerja tersita dan kualiti produk mudah berubah-ubah. Lebih membimbangkan, masalah ini sering kali disedari melalui rungutan pelanggan terlebih dahulu, jauh sebelum ia dilaporkan dalam laporan kewangan syarikat.

Di sinilah CERTIO® hadir sebagai penyelesaian.

Mengapa Kestabilan Minyak Begitu Penting

Haba ialah ujian sebenar bagi minyak goreng. Untuk mengukur sejauh mana minyak telah merosot, industri lazimnya merujuk kepada kandungan Asid Lemak Bebas (Free Fatty Acid, FFA), iaitu petunjuk tahap kesegaran dan kestabilan minyak. Semakin tinggi paras FFA, semakin kurang stabil minyak tersebut. Minyak akan lebih cepat hitam, mudah berbau tengik dan terpaksa ditukar dengan lebih kerap.

Minyak sawit olein komersial biasa lazimnya mempunyai paras FFA sehingga 0.1% semasa mula digunakan. Paras ini memang dalam julat yang dibenarkan, tetapi apabila digunakan untuk menggoreng secara berterusan pada suhu tinggi, minyak tersebut akan merosot dengan lebih cepat.

“CERTIO® ditapis sehingga paras FFA permulaannya tidak melebihi 0.05%, iaitu sehingga dua kali lebih rendah berbanding spesifikasi minyak sawit olein komersial biasa.”

Oleh sebab itu, CERTIO® bermula dalam keadaan lebih segar, kekal berprestasi lebih lama dan mengekalkan mutu yang sama dari awal hingga akhir penggunaannya. Bagi pengusaha yang menggoreng dalam kuantiti besar setiap hari, kelebihan ini bukan perkara kecil. Ibarat kata pepatah, sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit.

Dua Ukuran yang Paling Penting: Warna & Total Polar Matter (TPM)

Perbandingan paras TPM antara minyak masak biasa dan CERTIO® selepas 2 hari menggoreng. Keputusan sebenar bergantung pada jenis makanan yang digoreng dan keadaan operasi.

Bagi pengusaha makanan dan pengurus kualiti, ada dua ukuran yang paling diberi perhatian: Total Polar Matter (TPM) dan kestabilan warna minyak.

TPM ialah penanda aras kawal selia di peringkat global untuk menentukan sama ada minyak goreng masih selamat digunakan. Ia mengukur sebatian yang terhasil apabila minyak terurai akibat dipanaskan berulang kali serta terdedah kepada oksigen, kelembapan dan makanan. Semakin tinggi bacaan TPM, semakin hampir minyak itu ke penghujung hayatnya.

Bacaan TPM boleh memberi kesan kepada sejauh mana makanan itu selamat dimakan, selain mempengaruhi rasa, warna, tekstur dan jumlah minyak yang diserap. Itulah sebabnya banyak operasi perkhidmatan makanan menjadikan bacaan TPM sebagai panduan untuk menentukan masa yang tepat bagi menukar minyak.

Mengikut piawaian global, minyak perlu dilupuskan sebaik sahaja bacaan TPM melepasi 25%. Justeru, minyak yang bermula dengan bacaan TPM lebih rendah dan meningkat dengan lebih perlahan akan mengambil masa lebih lama untuk sampai ke had tersebut. Hasilnya, minyak boleh digunakan untuk lebih banyak kitaran sebelum perlu ditukar.

Dalam beberapa kitaran penggorengan, bacaan TPM CERTIO® didapati meningkat dengan kadar yang lebih perlahan berbanding minyak masak biasa. Ini membolehkan minyak kekal dalam had yang lebih selamat untuk tempoh yang lebih lama, sekali gus memanjangkan hayat penggunaannya.

Prinsip yang sama terpakai pada ukuran kedua, iaitu kestabilan warna. Oleh sebab CERTIO® merosot dengan lebih perlahan, warnanya kekal lebih cerah walaupun telah digunakan berkali-kali. Bagi pengusaha makanan, warna minyak menjadi petunjuk mudah yang boleh dilihat dengan mata kasar, dan ia selari dengan apa yang dibuktikan oleh ujian makmal.

Perbandingan perubahan warna minyak sepanjang 10 kitaran menggoreng

Minyak Tidak Perlu Kerap Ditukar

Ujian yang dijalankan oleh pihak bebas mendapati CERTIO® dapat mengurangkan kekerapan penukaran minyak sekurang-kurangnya 20% berbanding minyak sawit olein biasa.

Bayangkan kesannya kepada rangkaian restoran makanan segera (QSR) yang mengendalikan beberapa mesin penggoreng di setiap cawangan, atau kilang makanan yang mengeluarkan produk secara besar-besaran. Operasi tidak lagi kerap tergendala semata-mata untuk menukar minyak, penggunaan minyak secara keseluruhan berkurangan dan hasil pengeluaran lebih mudah dijangka. Bagi pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS atau SME) pula, setiap penukaran minyak yang dapat dielakkan membolehkan mereka menumpukan lebih banyak masa untuk menggoreng dan menjual.

Jimatnya bukan pada minyak sahaja. Setiap kali minyak ditukar, pekerja perlu meluangkan masa untuk mengeluarkan minyak lama, mencuci, mengisi minyak baru dan memanaskan semula kuali atau mesin penggoreng sehingga mencapai suhu yang dikehendaki. Semua ini menelan jam kerja dan menambah bil utiliti.

Pengurangan penukaran minyak juga bermakna pekerja lebih jarang perlu mengendalikan minyak panas yang telah digunakan, sekali gus mengurangkan risiko kemalangan di tempat kerja.

Kesimpulannya, pengusaha mampu mengawal kos menggoreng dengan lebih baik, termasuk kos tersembunyi yang selama ini sering terlepas pandang, di samping memastikan kualiti produk kekal konsisten setiap hari.

Dua Pilihan untuk Keperluan Menggoreng yang Berbeza

Dua varian CERTIO®, setiap satunya dirumus khas untuk keperluan menggoreng yang berbeza.

Minyak Sawit Goreng CERTIO® berbentuk separa pepejal tetapi masih boleh dituang. Ia sesuai untuk penggorengan berkelompok yang berat (heavy-duty batch frying), terutamanya bagi produk yang kualitinya banyak bergantung pada tekstur dan jumlah minyak yang diserap, seperti ayam goreng, nuget, kentang goreng, donat dan mi segera. Varian ini dirumus supaya tahan lebih lama walaupun digunakan pada suhu tinggi secara berterusan.

Minyak Sawit Olein Goreng CERTIO® pula ialah fraksi cecair minyak sawit yang ditapis untuk penggorengan berterusan (continuous frying) pada suhu tinggi dan dalam kuantiti besar. Ia sesuai untuk kerepek, snek, kekacang dan makanan laut. Bagi produk seperti ini, kerangupan atau keadaan lemau serta berminyak menentukan sama ada pelanggan akan kembali membeli atau beralih kepada pesaing.

Pilihan pembungkusan Minyak Sawit Olein Goreng CERTIO® untuk pelbagai jenis perniagaan.

CERTIO® boleh didapati dalam Bag-in-Box 17kg dan tin 17kg, selain pembungkusan pukal seperti dram, Intermediate Bulk Container (IBC) dan lori tangki. Daripada perusahaan kecil hinggalah kilang berskala besar, ada pilihan yang sesuai untuk setiap jenis operasi.

Kualiti Terjamin Sejak dari Ladang

Ramai yang tidak tahu bahawa pembentukan FFA dalam minyak sawit sebenarnya tidak bermula di kilang penapisan, tetapi sebaik sahaja buah sawit dituai. Semakin lama buah dibiarkan sebelum diproses, semakin tinggi kandungan FFA dalam minyak sawit mentah (CPO), walaupun minyak itu belum sampai ke kilang penapisan.

Faktor ini sukar dikawal oleh kebanyakan rantaian bekalan komoditi kerana mereka tidak memiliki keseluruhan rantaian tersebut.

Lain halnya dengan SD Guthrie.

CERTIO® dihasilkan daripada minyak sawit mentah yang ditanam, dituai, diproses di kilang sawit dan ditapis sepenuhnya dalam rangkaian SD Guthrie sendiri, dari ladang hingga ke kilang penapisan. Dengan menguasai setiap mata rantai ini, faktor kesegaran buah dapat dikawal sejak di peringkat sumber lagi. Disokong oleh kilang sawit yang diperakui HACCP, proses penapisan yang dikawal rapi dan pemeriksaan kualiti di setiap peringkat, setiap kelompok CERTIO® dipastikan memenuhi spesifikasi yang sama.

CERTIO® juga memiliki pensijilan Halal, RSPO, HACCP dan Kosher. Bagi bahagian pembelian dan R&D yang perlu memenuhi syarat pematuhan di pelbagai pasaran, gabungan pensijilan ini memudahkan proses kelulusan pembekal di Asia Tenggara, Timur Tengah, Amerika Syarikat dan Eropah. Bagi pengusaha tempatan yang ingin menembusi pasaran eksport, ini satu kelebihan yang besar.

Bukti daripada Pengusaha Sendiri

Encik Fazly, pengusaha kerepek dari Selangor, merasai sendiri perbezaannya selepas beralih kepada Minyak Sawit Olein Goreng CERTIO®. Kerepek yang dihasilkan di kilangnya kini rangup secara konsisten dan kurang menyerap minyak, manakala minyak pula tidak perlu kerap ditukar dalam sehari. Kesannya terus dirasai: belanja minyak bagi setiap pusingan pengeluaran berkurangan, kualiti lebih mudah dikawal dan perbezaan mutu antara satu kelompok dengan kelompok yang lain jauh berkurangan. Bagi pengeluar kerepek, konsistensi seperti inilah yang menjaga kepercayaan peruncit.

“Sebelum ini, saya cuma boleh dapat dalam 6 kitaran menggoreng sahaja dengan minyak goreng biasa. Selepas bertukar kepada CERTIO®, saya boleh menggoreng sehingga 9 kitaran. Kerepek jadi lebih rangup, kurang berminyak dan rasa aslinya lebih menyerlah.”

Proses menggoreng di dapur komersial

Pengalaman yang sama dikongsi oleh Encik Ridhuan, pengusaha rangkaian restoran ayam goreng. Sejak menggunakan CERTIO®, proses menggoreng di semua cawangannya lebih mudah dikawal. Oleh sebab minyak merosot pada kadar yang lebih stabil, masalah biasa seperti minyak di satu mesin penggoreng lebih cepat hitam berbanding yang lain, atau tekstur ayam yang tidak sekata, kini berkurangan.

Kakitangannya juga tidak perlu lagi kerap memantau dan melaraskan keadaan minyak. Minyak lebih jarang ditukar, kualiti ayam goreng lebih seragam dan operasi kurang terganggu pada waktu sibuk.

Sama ada di kilang kerepek atau di restoran ayam goreng, kuncinya tetap sama: minyak yang lebih stabil memudahkan kawalan kualiti. Apabila mutu produk, hasil pengeluaran dan kepuasan pelanggan bergantung sepenuhnya pada konsistensi, kawalan seperti ini amat bernilai.

Lestari dari Akar Umbi. Diperakui sebagai Bukti

CERTIO® dihasilkan oleh SD Guthrie International, antara pengeluar Minyak Sawit Mampan Diperakui (CSPO) terbesar di dunia dengan sumbangan kira-kira 12% daripada pengeluaran CSPO global. SD Guthrie turut menduduki tempat pertama dalam penilaian ketelusan ESG SPOTT, penanda aras global bagi pengeluaran minyak sawit yang bertanggungjawab, dan berada di tempat ke-80 dalam senarai Fortune SEA500.

Bagi pembeli bahan ramuan dan bahagian pembelian yang kini berdepan syarat pematuhan yang semakin ketat, seperti Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR), bukti kelestarian sama pentingnya dengan prestasi produk. Bagi CERTIO®, kebolehkesanan rantaian bekalan sepenuhnya, sumber bebas penebangan hutan dan pensijilan yang diiktiraf bukanlah sekadar gimik pemasaran. Semuanya lahir daripada rantaian bekalan bersepadu yang sama yang menghasilkan minyak dengan FFA maksimum 0.05%.

Mengapa perlu memilih antara prestasi dan sumber yang bertanggungjawab? Dengan CERTIO®, anda mendapat kedua-duanya dalam setiap titis.

Untuk pertanyaan lebih lanjut, sila e-mel ke product.enquiries@sdguthrie.com.

Related News

certio-high-performance-frying-palm-oil-commercial-kitchen
CBC-Thumbnail
sd-guthrie-natrieo-tri-e-tocotrienols-genuine-product-palm-fruit-scaled

Let’s Move
Forward Together

This field is for validation purposes and should be left unchanged.